Ahad, 21 Februari 2010

Tadika, aku dan komputer

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
"Papa, Adik baharu dapat buku, dari sekolah dan cikgu suruh mama balut," putera bongsuku yang berusia 6 tahun dengan riang menunjukkan buku bertajuk ‘Pengetahuan Am’.

"Sementara mama membalut buku yang lain, ceritakan pada papa gambar apa yang terdapat di dalam buku adik," aku membalas untuk tidak menghampakannya.

"Pada muka surat satu, ada gambar komputer."

"Bacakan pada papa apa yang ditulis di bawah gambar komputer itu?" aku mula ingin tahu.

"Terdapat gambar dan tulisan, monitor, tetikus, papan kekunci, kotak pemprosesan dan kabel," puteraku membaca satu persatu teks yang terdapat di bawah figura pada buku tersebut.

"Adik beruntung kerana mengenali komputer seawal peringkat tadika. Waktu papa, pelajaran komputer hanya diajar di peringkat universiti pada tahun satu untuk kursus komputer. Manakala untuk kursus lain ianya diajar mulai tahun dua atau tiga.

"Dahulu papa pernah masuk ke universiti?," Puteraku tersenyum sambil berlalu bersama buku untuk dibalut oleh mamanya....

Rabu, 16 Disember 2009

Catatan 5 Disember 09- Sambutan Hari Oku

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sampai di KLCC jam 11:30 am. Kopak rm untuk tambang teksi. Masuk ke Suria KLCC kemudian ke kaunter pertanyaan. Petugas kauunter agak ramah.

“Encik Jalan terus, sampai kedai Burger King belok kanan, jumpa terowong jalan terus hingga jumpa car park, seberangnya jumpalah dewan konvensyen,” memberikan panduan, seperti acara mencari harta karun.
Mundar-mandir di PC Fair di dalam dewan KLCC, suasana hingar bingar seperti pasar. Aku dan dua puteraku merangkap bodyguard lalu dari satu booth ke satu booth. Cuma tidak sampai 5 booth yang kami singgah kerana kebanyakannya memperaga dan menjual barang yang sama. Juga barang yang aku hajati tidak kutemui. .

Jam 12 keluar dewan, bertanya pada pengawal keselamatan sebuah bank arah stesen L R T KLCC. Kami yang tidak faham atau diberi salah maklumat, stesen tak jumpa. Bertanya semula di kaunter pertanyaan, baru jumpa. Hanya dua orang sahaja yang diberikan tambang percuma.

Pasar Seni bberbeza dengan zaman aku muda dahulu. Makan tengahari di food court tingkat satu, solat Zuhur di tingkat 2,. Jam 2.30 naik teksi, ke MAB, Brickfield. Mundar-mandir di sepanjang jalan di bawah setesen Monorel tempat berlangsungnya sambutan Hari Oku. Tidak singgah di booth MABCC...... Kedengaran lagu kekasih awal dan akhir tidak ingat siapa penyanyinya. Jam 3.15 balik naik monorel dan LRT, ketiga-tiga kami tidak dikenakan bayaran tambang.

Cadangan awal hendak ke Jom Heboh dibatalkan....

Rabu, 9 Disember 2009

Aku ingin kembali ke sini

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Aku telah kembali lagi ke sini tetapi untuk apa?. Telah hampir setahun setengah aku tinggalkannya terbiar usang, membena sesuatu yang baharu tetapi tetap juga sama, terbiar kosong, sepi umpama tanah kuburan pada tengah malam di hujung kampong di tepi belukar.

Kini aku di sini, menjenguk, membersihkan sesawang, meletakkan sedikit andaman dan memasang litar tertutup untuk mengesan mereka yang sedang mendengar bisikanku dan dinding untuk pengunjung meninggalkan bisikan.

Aku berbisik sendiri... di mana, bagaimana, bila dan untuk apa aku kembali lagi?????

Selasa, 1 September 2009

Catatan 1 Ramadhan 1430... Ingkong, ambeng dan kotean.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Hari itu aku dan keluarga balik kampong. Selain daripada menziarahi kedua-dua orang tua, kami bertujuan hendak menyambut 1 Ramadhan di kampong. Kami sampai di kampong lebih kurang pukul 11 pagi.

Pukul 2 petang, stesen TV9 menyiarkan sebuah rancangan istimewa sempena Ramadhan. Rancangan tersebut menyiarkan sambutan awal Ramadhan di sebuah Home Stay, di Muar Johor. Rancangan yang dihoskan oleh Chef Wan itu menayangkan sambutan awal Ramadhan bagi masyarakat keturunan Jawa. Antara yang dipaparkan dalam rancangan tersebut ialah penyediaan ingkong dan nasi ambeng. Selain itu turut dipaparkan ialah majlis bacaan tahlil dan diakhiri dengan kotean.

Malam tersebut aku ke surau untuk solat tarawikh. Keadaan dan suasana di surau tersebut amat berbeza dengan keadaan ketika aku masih kecil hingga remaja. Tidak seperti yang disiarkan oleh TV9 pada sebelah siangnya, di surau itu tiada nasi ambeng penyambut ramadhan dan tiada kotean memecah kesunyan malam-malam Ramadhan......

Khamis, 20 Ogos 2009

Istigfar penenang jiwa versi Jawa

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Pada suatu pagi ketika sedang berehat tiba-tiba aku terdengar satu lagu yang tidak pernah menyapa telingaku sebelum ini. Aku tidak pasti tajuk dan penyanyinyinya. Setelah menggoogle akupun mendapatkannya, alhamdullillah. Marilah sama-sama kita dengarkannya hingga tamat dan jika tidak faham sila hubungi aku.....

Unlabeled 0

Sabtu, 1 Ogos 2009

Balik kampong dan kenduri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Ketika posting ini dibuat kami sekeluarga sepatutnya sudah berada di kampong. Namun hasrat untuk balik kampong terpaksa dibatalkan kerana anakku menghidap selsema babi. Walaupun keadaan penyakit yang dihidapinya sudah menunjukkan tanda-tanda sudah sembuh namun dikhuatiri kuman yang tersisa akan menjangkiti orang kampong pula. Ini kerana keluarga aku di kampong akan mengadakan majlis kenduri.

Seperti kelaziman, masyarakat kampong aku akan mengadakan kenduri ketika menjelang bulan Ramadhan. Pada kebiasaannya dilakukan pada bulan Syaaban malah seawal  bulan Rejab sudah ada yang mengadakannya. Kenduri tersebut yang dijalankan secara tradisi dengan niat  semoga amalan tersebut menjadi ibadat dan  dilipat gandakan ganjarannya di hari kemudian, amin. Program kenduri biasanya diadakan pada sebelah malam dengan bacaan tahlil dan doa selamat.

Sebagai masyarakat keturunan Jawa, juadah yang disediakan adalah mengikut tradisi setempat dan disesuaikan mengikut citarasa kontemporari. Apa yang pasti nasi ambeng, sambal lombok, serundeng, ayam goreng pasti terhidang. Selepas menjamah sedikit hidangan, tidak lupa lebihnya akan dibawa balik dijadikan berkat untuk ahli keluarga lain yang sedang menunggu dirumah……

Jumaat, 31 Julai 2009

Aku belajar jana wang melalui internet

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Kira-kira seminggu yang lalu aku sepatutnya menghadiri satu seminar menjana wang melalui internet yang dianjurkan oleh salah satu NGO. Seminar gratis tersebut dipandu oleh salah seorang naib presiden salah sebuah syarikat perunding ict yang berjaya. Malangnya aku tidak dapat hadir atas sebab-sebab tersendiri.

Merujuk kepada tajuk seminar itu, aku sangat teruja untuk mendapatkan maklumat selanjutnya. Aku melungsur dari satu laman web ke satu laman web, dari satu laman blog ke satu laman blog dan dari setiap pautan pada injin pencari ke pautan yang lain.

Hasil maklumat yang aku perolehi, aku membuat kesimpulan bahawa menjana wang melalui internet adalah termasuk dalam pemasaran internet. Secara asasnya pemilik laman blog atau web mendaftar sebagai pengiklan kepada syarikat promoter iklan. Kemudian setiap barangan yang terjual hasil daripada iklan tersebut, pemilik laman blog atau web akan menerima komisyen daripada syarikat promoter tadi. Namun disebalik asas yang mudah itu terdapat banyak manipulasi untuk menjadikan penjanaan wang melalui internet semakin pelbagai dan rumit......