Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Ketika posting ini dibuat kami sekeluarga sepatutnya sudah berada di kampong. Namun hasrat untuk balik kampong terpaksa dibatalkan kerana anakku menghidap selsema babi. Walaupun keadaan penyakit yang dihidapinya sudah menunjukkan tanda-tanda sudah sembuh namun dikhuatiri kuman yang tersisa akan menjangkiti orang kampong pula. Ini kerana keluarga aku di kampong akan mengadakan majlis kenduri.
Seperti kelaziman, masyarakat kampong aku akan mengadakan kenduri ketika menjelang bulan Ramadhan. Pada kebiasaannya dilakukan pada bulan Syaaban malah seawal bulan Rejab sudah ada yang mengadakannya. Kenduri tersebut yang dijalankan secara tradisi dengan niat semoga amalan tersebut menjadi ibadat dan dilipat gandakan ganjarannya di hari kemudian, amin. Program kenduri biasanya diadakan pada sebelah malam dengan bacaan tahlil dan doa selamat.
Sebagai masyarakat keturunan Jawa, juadah yang disediakan adalah mengikut tradisi setempat dan disesuaikan mengikut citarasa kontemporari. Apa yang pasti nasi ambeng, sambal lombok, serundeng, ayam goreng pasti terhidang. Selepas menjamah sedikit hidangan, tidak lupa lebihnya akan dibawa balik dijadikan berkat untuk ahli keluarga lain yang sedang menunggu dirumah……
Tiada ulasan:
Catat Ulasan