Ahad, 21 Oktober 2007

Bisikan ke 3: Kasih sayang di Aidilfitri

Hari ini merupakan hari ke 7 umatt Islam di Malaysia berada dalam bulan Syawal tahun 1428 Hijrah. Bagi mereka yang menunaikan ibadat puasa sunat 6 hari bermula dari 2 Syawal, hari ini merupakan hari raya kedua mereka. Beruntunglah mereka yang mendapat ganjaran berpuasa selama setahun.
 
Suasana Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa akan kemeriahannya. Tetamu masih lagi berkunjung dari  rumah ke rumah, Kebanyakkannya terdiri daripada kaum keluarga dan sanak saudara.
 
Memang betulhari raya adalah masa yang paling sesuai untuk bermaaf-maafan disamping mengeratkan hubungan silaturahim dan juga  mengukuhkan kasih sayang sesama manusia.

Kasih sayang memang tidak dapat dijualbeli, ianya wujud secara semulajadi melalui pengalaman silam. Aku mungkin tidak merasa kasih atau sayang kepada orang lain kerana aku tidak mempunyai pengalaman dengan mereka. Memang aku dituntut untuk mempunyai perasaan kasih sayang sesama insan namun perasaan itu bukan boleh dilakonkan malah untuk berpura-pura sekalipun pasti akan dapat dihidu kesumbangannya. Kasih sayang wujud di dalam hati dan diluahkan lewat aksi dan tindakan. Kasih sayang juga tidak dapat disembunyikan ataupun di pendam. Begitulah yang berlaku pada diriku pada awal Syawal lalu iaitu kasih sayang terlalu indah untuk dikenang.
 
Dalam usia yang selewat aku, ramai yang masih sudi bersalaman, memeluk, mencium malah menangis ketika mengucapkan kemaafan. Doa, perangsang, nasihat  dan harapan turut dibisikan ke cuping telingaku. Sebenarnya itulah yang memberikan kekuatan untuk aku meneruskan kelangsungan hidup ini. Alhamdullillah aku masih punyai mereka walaupun hanya bisikan yang mampu mereka sumbangkan. Itulah yang sebenarnya lebih bermakna dari sesuatu yang lainl, mungkin. Bisikan dan tangisan merekalah yang telah menyentuh dan meresap jauh di sudut hati dan perasaanku. Sebenarnya aku ingin membasahi bahu-bahu  juga pipi mereka dengan airmataku  namun barangkali ianya telah kering ataupun hati ini terlalu keras untuk memahami malah mentafsirkan peristiwa tersebut.?atau mungkin seperti mana yang aku nyatakan di atas bahawa kasih sayang tidak boleh dilakonkan..............
 

Rabu, 19 September 2007

Bisikan ke 2 Monolog 7 Ramadhan

Hari ini masuk seminggu umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa. Seperti biasa aku masih di sini, mengisi perjalanan waktu yang semakin singkat. Dalam keterbatasan ruang gerak, aku hanya menarikan jari-jemariku pada papan kekunci guna memeluahkan rasa malah upaya agar bisikanku akan bersambut lewat laptop ini. Bisikanku lewat kumpulan berita hanya berkisar pada bisikan juadah berbuka puasa, lelucon yang melalaikan malah perihal ict yang sukar dimengerti.  Sesekali terdengar bisikan tentang Hari Raya Aidilfitri yang masih jauh dari  menjengukkan wajahnya. 
Bulan Ramadhan bulan yang mulia yang mana pernah dibisikkan ke cuping telingaku bahawa didalamnya terdapat keampunan, keberkatan dan penjauhan dari api neraka. Juga dikhabarkan bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah agar aku insaf terhadap saudaraku yang serba kekurangan. Aku tidak perlu ke Darfur Sudan, Iraq, Palastin malah ke Sumatra untuk merasi kesengsaraan warganya kerana di Malaysia saudaraku juga tidak kurang penderitaannya. Apakah aku merasai keperitan hidup saudaraku di kaki lima yang mengharapkan kertas tisu menjadi helaian wang, suara penyanyi jalanan memuntahkan kepingan nota berwajah agong, malah tadahan tangan bakal dipenuhi nuget perak?. Saudaraku sentiasa mengharapkan kehadiran tetamu untuk merialisasikanharapan sewaktu melangkah keluar rumah lewat pagi. Namun jika Sang Penguasa yang hadir sebagai tetamu maka celakalah kehidupan saudaraku sekeluarga, sekurang-kurangnya untuk hari itu
Selalu aku terdengar bisikan yang menyatakan bahawa salah satu ciri kesempurnaan iman ialah aku mesti mengasihi saudaraku sepertimana aku mengasihi diriku sendiri. Sempurnakah imanku jika aku tidak pernah menginsafi kehidupan saudaraku tersebut?. Aku tidak pernah tahu apakah juadah berbuka puasa hari ini itupun jika ada, Malah
 untuk esok, lusa dan hari-hari mendatang. Bagaimanakah anak-anak saudaraku berbuka puasa andainya celaka menimpa lantaran ditakdirkan kedua-dua ibubapa mereka menjadi tahanan sang penguasa kerana disyaki dengan beraneka tuduhan?.
Akhirnya apakah aku masih seperti ini untuk kesekian kalinya iaitu mencipta helah dan alasan untuk tidak berbuat sesuatu?. Akan aku tinggalkan hari ini seperti aku meninggalkan semalam dan yang pastinya aku masih di sini seperti juga hari-hari semalam dan hari-hari sebelumnya sepanjang tiga tahun yang lalu........

Khamis, 13 September 2007

Bisikan pertama diawal Ramadhan 1428H

Malam ini anak bulan Ramadhan tanggal 1428Htelah disahkan akan kelahirannya. Malam ini seperti juga malam-malam sebelumnya sepanjang tiga tahun ini, aku masih disini berbisik dan mendengar bisikan. Jika selama ini bisikan ini hanya didengar oleh beberapa rakan-rakan lewat mel elektronik, mulai malam ini aku ingin berbisik kepada sesiapa sahaja yang sudi  mendengarnya di seluruh ruang ini. Bagi mereka yang senasibku bisikan ini dapat di perangkap lewat cuping telinga dan mereka yang lain   bisikan ini akan terterjemah lewat aksara yang terpampang pada layar monitor komputer.
Maaf  jika aku menumpang dan menyelit d celah-celah ruang siber ini. Aku rasa ada banyak yang ingin aku luahkan dari dasar hatiku ini yang selama ini tersekat di celah-celah kerongkong sahaja. Aku ingin berbisik tentang pengalaman hidup, rasa hati, ict malah sebarang isu  relevan  menyangkut kehidupan ini. Jika bisikan ini bernada sumbang atau  jika teks pada layar monitor akan menyakitkan mata, maafkanlah aku. Aku hanya menumpang di sudut ruang ini, sampai waktu aku pergi jua.
Bukanku pinta rayu simpati, naamun luahan ini hanyalah pengetahuan yang tersembunyi dimana hanya aku dan mereka yang senasibku sahaja yang mengerti.
Buat rakan-rakan yang segolongan denganku maafkan aku kerana membisikkan pengalamanku di ruang ini dan sesungguhnya bisikanku ini  tiada kena mengena dengan sesiapa baik yang hidup mahupun yang telah tiada.....