Hari ini masuk seminggu umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa. Seperti biasa aku masih di sini, mengisi perjalanan waktu yang semakin singkat. Dalam keterbatasan ruang gerak, aku hanya menarikan jari-jemariku pada papan kekunci guna memeluahkan rasa malah upaya agar bisikanku akan bersambut lewat laptop ini. Bisikanku lewat kumpulan berita hanya berkisar pada bisikan juadah berbuka puasa, lelucon yang melalaikan malah perihal ict yang sukar dimengerti. Sesekali terdengar bisikan tentang Hari Raya Aidilfitri yang masih jauh dari menjengukkan wajahnya.
Bulan Ramadhan bulan yang mulia yang mana pernah dibisikkan ke cuping telingaku bahawa didalamnya terdapat keampunan, keberkatan dan penjauhan dari api neraka. Juga dikhabarkan bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah agar aku insaf terhadap saudaraku yang serba kekurangan. Aku tidak perlu ke Darfur Sudan, Iraq, Palastin malah ke Sumatra untuk merasi kesengsaraan warganya kerana di Malaysia saudaraku juga tidak kurang penderitaannya. Apakah aku merasai keperitan hidup saudaraku di kaki lima yang mengharapkan kertas tisu menjadi helaian wang, suara penyanyi jalanan memuntahkan kepingan nota berwajah agong, malah tadahan tangan bakal dipenuhi nuget perak?. Saudaraku sentiasa mengharapkan kehadiran tetamu untuk merialisasikanharapan sewaktu melangkah keluar rumah lewat pagi. Namun jika Sang Penguasa yang hadir sebagai tetamu maka celakalah kehidupan saudaraku sekeluarga, sekurang-kurangnya untuk hari itu
Selalu aku terdengar bisikan yang menyatakan bahawa salah satu ciri kesempurnaan iman ialah aku mesti mengasihi saudaraku sepertimana aku mengasihi diriku sendiri. Sempurnakah imanku jika aku tidak pernah menginsafi kehidupan saudaraku tersebut?. Aku tidak pernah tahu apakah juadah berbuka puasa hari ini itupun jika ada, Malah
untuk esok, lusa dan hari-hari mendatang. Bagaimanakah anak-anak saudaraku berbuka puasa andainya celaka menimpa lantaran ditakdirkan kedua-dua ibubapa mereka menjadi tahanan sang penguasa kerana disyaki dengan beraneka tuduhan?.
Akhirnya apakah aku masih seperti ini untuk kesekian kalinya iaitu mencipta helah dan alasan untuk tidak berbuat sesuatu?. Akan aku tinggalkan hari ini seperti aku meninggalkan semalam dan yang pastinya aku masih di sini seperti juga hari-hari semalam dan hari-hari sebelumnya sepanjang tiga tahun yang lalu........
Tiada ulasan:
Catat Ulasan