Selasa, 29 April 2008

Dailog seorang ayah dengan anak tentang sekolah.....

 
Suatu hari pukul 6.45 pagi ketika sedang menikmati sarapan di meja makan.
"Ayah, kenapa saya perlu kesekolah?," anak keduaku yang berada dalam darjah 6 mengemukakan pertanyaan.
"Mengikut undang-undang, kanak-kanak wajib bersekolah hingga tahun enam. Lagipun kerajaan telah menyediakan Sistem Pendidikan yang terbaik dan bersepadu bakal menghasilkan insan berimbang," aku menjawab dengan yakin.
"Mengapa pula saya perlu ke kelas KAFA hingga pukul 6 petang?," 
"Sebagai seorang Islam kita wajib mempelajari dan melaksanakan setiap tuntutan agama," jawabku masih yakin.
"Kenapa pula saya wajib menghadiri kelas tusyen sehingga pukul sepuluh malam?,"
"Untuk memantapkan lagi pemahaman mengenai pelajaran yang diajar  di sekolah," keyakinanku terhadap hujahku mula longgar
"Kenapa setiap hujung minggu saya mesti mengikuti latihan  bela diri dan kelas seni?,"
"Untuk menyerlahkan bakat dan potensi yang selama ini terpendam," keyakinanku mula rapuh.
"Kenapa setiap cuti semester saya perlu menghadiri kursus motivasi, kursus kepimpimpinan ataupun kem musim panas?."
"Untuk membentuk saksiah, kepimpinan dan menaikkan semangat
 dalam kehidupan ini. Selain itu ia juga mengajar membuat keputusan dengan tepat," aku menjawab dengan tiada keyakinan lagi.
"Mengapa saya mesti diperlakukan  sebigitu sedangkan ayah berkata bahawa Sistem Pendidikan sekolah mampu menghasilkan insan berimbang?."
Sedang aku memikirkan hujah-hujah yang akan aku  lontarkan, tiba-tiba aku diselamatkan oleh bunyi hon dari van yang mengambil anakku ke sekolah......
 

Isnin, 21 April 2008

Perasmian blog

Salam sejahtera,
Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran kehadhratNya kerana dengan limpah dan kurnianya yang telah memberikan ruang peluang dan kesempatan hingga terbena laman blog ini. Ucapan terimakasih juga kepada semua yang telah, sedang dan akan mengunjungi laman ini kerana dengan kunjungan anda sekelian diharapkan akan memberikan menafaat kepada saya dan para pengunjung semua.
Sila tinggalkan ulasan terhadap tulisan saya di dalam ruang komen ataupun tinggalkan pesanan di dalam kekotak pesanan yang disediakan……

Rabu, 20 Februari 2008

Bagaimana anda dapat membantu.......

Jika ketemu denganku buat pertama kali, mungkin anda tertanya-tanya apakah yang pperlu dilakukan , Tampaknya nasihat untuk "lakukanlah secara normal" sebenarnya tidaklah banyak membantu. Disini ada beberapa cadangan bagi memudahkan anda dan rakan-rakan membantuku dengan mudah.

Orang buta
Orang buta terdiri dari berbagai jenis latar belakang. Di sana ada olahragawan dan olahragawati, petani, pemain catur, kerani, suri rumah, peguam, telefonis, pengaturcara komputerdan juga guru.
ketika berbual Bercakaplah secara semulajadi. Jangan bercakap perlahan atau menujukan percakapan anda kepada semua yang lain sahaja seolah-olah aku tiada di situ. Jangan takut berkata "Gembira bertemu anda", aku juga berkata begitu. Ketika anda menyapaku sila kenalkan diri anda sekiranya aku tidak mengecam suara anda. Panggillah namaku sekiranya anda tahu jika tidak, sentuhlah aku untuk menandakan anda bercakap denganku. Jika anda hendak beredar sila nyatakan bahawa anda hendak meninggalkanku, semua orang akan kelihatan bodoh jika bercakap bersendirian. di kawasan lapang.
di pinggir jalanAku akan menghargai jika anda sudi membantu menyeberangi jalan atau menunjukkan arah kedai, namun jika tawaran anda ditolak jangan berkecil hati kerana pasti selepas itu mesti ada yang bakal menerimanya. Mula-mula tanyakan samada anda boleh membantu ataupun tidak. kemudian berjalanlah sedikit di hadapanku dengan memegang tanganku. Jika anda membantuku untuk memasuki kenderaan, beritahuku ke arah mana aku patut menghadap. Selepas itu letakkan tanganku di atas bumbung kenderaan dengan pintu terbuka. ketika menbantuku menaiki keretapi mahupun bas, anda masuklah dahulu, jangan menolakku kehadapan anda. Ingatlah agar sentiasa memberikan amaran jika aku menghampiri tangga ataupun cerun. Nyatakan juga samada ianya arah menurun ataupun menaik.
Dalam bilikJangan risau sangat tentang perabut atau perhiasan yang mudah pecah. Kebiasaannya aku akan mengenalpasti sesuatu yang merbahaya dikedudukan sebelumnya. Tunjukkan padaku persekitaran ruang, terangkan kedudukan perabut yang anda lintasi, nyatakan hanya aras ketinggian yang tidak selamat.Pada kerusi, letakkan tanganku ke lengan atau bahagian belakang kerusi, aku akan tahu ke arah mana untuk duduk.Jangan biarkan pintu separuh terbuka atau jangan letakkan barang-barang di atas lantai jika aku melawat anda. Jika anda bertandang ke rumahku, jangan alihkan barang-barang yang ada, namun andainya perlu juga dialih anda wajib memberitahuku dimana anda meletakkannya.Jika anda menjemputku untuk makan, beritahuku apakah makanan yang anda hidangkan. Jangan isi minuman hingga ke permukaan gelas kerana gelas yang penuh terisi akan mudah tertumpah. Jika anda menghidangkan ikan bertulang, tawarkan bantuan untuk membuang tulang tersebut, namun aku akan minta jika memerlukannya. Kebiasaannya aku akan gembira jika dapat melakukannya sendiri.

Rabu, 13 Februari 2008

Bagaimana orang buta menggunakan komputer......


Hari ini apa kata kita berbincang mengenai komputer dan orang buta. Topik ini dirasakan perlu untuk dibincangkan memandangkan terdapatnya persepsi yang salah dari sebahagian kita mengenai keupayaan orang buta terutamanya dari hal i ict.

Saya juga pernah berpersepsi begitu sebelum saya mengenali komputer yang digunakan oleh orang buta walaupun saya adalah pengamal bidang ict.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, satu set komputer yang kita miliki biasanya terpasang dengan kotak cpu, papan kekunci, monitor dan tetikus. Satu lagi keperluan yang perlu ada untuk menjalankan komputer ialah sistem pengoperasian kebiasaannya windows oleh microsoft. Sebaliknya bagi orang buta, papan kekunci dan kotak cpu dengan sistem pengoperasian sudah cukup untuk membolehkannya menggunakan komputer.

Sebagai permulaan, cuba ikuti langkah-langkah berikut untuk merasai pengalaman menggunakan komputer yang digunakan untuk orang buta. Cara-cara berikut boleh dilakukan jika anda menggunakan sistem pengoperasian microsoft windows xp.

Untuk memulakan Narrator, click Start, point ke Programs, point ke Accessories, point ke Accessibility, dan kemudian click Narrator.Untuk memulakan Narrator menggunakan keyboard, tekan CTRL+ESC,tekan R, taipkan narrator, dan kemudian tekan ENTER.

Selamat mencuba......

Ahad, 10 Februari 2008

Bagaimana orang buta membaca.....

Secara umumnya terdapat 3 cara bagaimana orang buta membaca iaitu;
1. Braille
Teks daripada bahan bacaan akan diterjemahkan kepada kod Braille menggunakan pencetak khas (emboss). Kod-kod Braille ini akan dikesan menggunakan jari untuk dibaca.
2. Buku Audio
Bahan bacaan akan dibaca dan dirakam menggunakan alat perakam. Selepas itu dipindahkan semula ke media lain seperti kasetatau cakera padat yang kemudiannya akan dimainkan semula untuk didengar.
3. Buku elektronik
Teks daripada bahan bacaan akan dipindahkan kedalam komputer atau peralatan mudahalih seperti talifon bimbit, pda atau komputer menggunakan pemproses perkataan seperti word ataupun format pdf. Teks ini akan dibaca menggunakan perisian teks ke suara. Buku ini juga dikenali sebagai mobile book.
Format DAISY juga tergolong dalam kategori ini, dimana bahan bacaan akan diterjemahkan ke dalam format ini. Satu persian khusus akan digunakan untuk tujuan memmbaca bahan-bahan tersebut.

Ahad, 21 Oktober 2007

Bisikan ke 3: Kasih sayang di Aidilfitri

Hari ini merupakan hari ke 7 umatt Islam di Malaysia berada dalam bulan Syawal tahun 1428 Hijrah. Bagi mereka yang menunaikan ibadat puasa sunat 6 hari bermula dari 2 Syawal, hari ini merupakan hari raya kedua mereka. Beruntunglah mereka yang mendapat ganjaran berpuasa selama setahun.
 
Suasana Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa akan kemeriahannya. Tetamu masih lagi berkunjung dari  rumah ke rumah, Kebanyakkannya terdiri daripada kaum keluarga dan sanak saudara.
 
Memang betulhari raya adalah masa yang paling sesuai untuk bermaaf-maafan disamping mengeratkan hubungan silaturahim dan juga  mengukuhkan kasih sayang sesama manusia.

Kasih sayang memang tidak dapat dijualbeli, ianya wujud secara semulajadi melalui pengalaman silam. Aku mungkin tidak merasa kasih atau sayang kepada orang lain kerana aku tidak mempunyai pengalaman dengan mereka. Memang aku dituntut untuk mempunyai perasaan kasih sayang sesama insan namun perasaan itu bukan boleh dilakonkan malah untuk berpura-pura sekalipun pasti akan dapat dihidu kesumbangannya. Kasih sayang wujud di dalam hati dan diluahkan lewat aksi dan tindakan. Kasih sayang juga tidak dapat disembunyikan ataupun di pendam. Begitulah yang berlaku pada diriku pada awal Syawal lalu iaitu kasih sayang terlalu indah untuk dikenang.
 
Dalam usia yang selewat aku, ramai yang masih sudi bersalaman, memeluk, mencium malah menangis ketika mengucapkan kemaafan. Doa, perangsang, nasihat  dan harapan turut dibisikan ke cuping telingaku. Sebenarnya itulah yang memberikan kekuatan untuk aku meneruskan kelangsungan hidup ini. Alhamdullillah aku masih punyai mereka walaupun hanya bisikan yang mampu mereka sumbangkan. Itulah yang sebenarnya lebih bermakna dari sesuatu yang lainl, mungkin. Bisikan dan tangisan merekalah yang telah menyentuh dan meresap jauh di sudut hati dan perasaanku. Sebenarnya aku ingin membasahi bahu-bahu  juga pipi mereka dengan airmataku  namun barangkali ianya telah kering ataupun hati ini terlalu keras untuk memahami malah mentafsirkan peristiwa tersebut.?atau mungkin seperti mana yang aku nyatakan di atas bahawa kasih sayang tidak boleh dilakonkan..............
 

Rabu, 19 September 2007

Bisikan ke 2 Monolog 7 Ramadhan

Hari ini masuk seminggu umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa. Seperti biasa aku masih di sini, mengisi perjalanan waktu yang semakin singkat. Dalam keterbatasan ruang gerak, aku hanya menarikan jari-jemariku pada papan kekunci guna memeluahkan rasa malah upaya agar bisikanku akan bersambut lewat laptop ini. Bisikanku lewat kumpulan berita hanya berkisar pada bisikan juadah berbuka puasa, lelucon yang melalaikan malah perihal ict yang sukar dimengerti.  Sesekali terdengar bisikan tentang Hari Raya Aidilfitri yang masih jauh dari  menjengukkan wajahnya. 
Bulan Ramadhan bulan yang mulia yang mana pernah dibisikkan ke cuping telingaku bahawa didalamnya terdapat keampunan, keberkatan dan penjauhan dari api neraka. Juga dikhabarkan bahawa salah satu hikmah berpuasa ialah agar aku insaf terhadap saudaraku yang serba kekurangan. Aku tidak perlu ke Darfur Sudan, Iraq, Palastin malah ke Sumatra untuk merasi kesengsaraan warganya kerana di Malaysia saudaraku juga tidak kurang penderitaannya. Apakah aku merasai keperitan hidup saudaraku di kaki lima yang mengharapkan kertas tisu menjadi helaian wang, suara penyanyi jalanan memuntahkan kepingan nota berwajah agong, malah tadahan tangan bakal dipenuhi nuget perak?. Saudaraku sentiasa mengharapkan kehadiran tetamu untuk merialisasikanharapan sewaktu melangkah keluar rumah lewat pagi. Namun jika Sang Penguasa yang hadir sebagai tetamu maka celakalah kehidupan saudaraku sekeluarga, sekurang-kurangnya untuk hari itu
Selalu aku terdengar bisikan yang menyatakan bahawa salah satu ciri kesempurnaan iman ialah aku mesti mengasihi saudaraku sepertimana aku mengasihi diriku sendiri. Sempurnakah imanku jika aku tidak pernah menginsafi kehidupan saudaraku tersebut?. Aku tidak pernah tahu apakah juadah berbuka puasa hari ini itupun jika ada, Malah
 untuk esok, lusa dan hari-hari mendatang. Bagaimanakah anak-anak saudaraku berbuka puasa andainya celaka menimpa lantaran ditakdirkan kedua-dua ibubapa mereka menjadi tahanan sang penguasa kerana disyaki dengan beraneka tuduhan?.
Akhirnya apakah aku masih seperti ini untuk kesekian kalinya iaitu mencipta helah dan alasan untuk tidak berbuat sesuatu?. Akan aku tinggalkan hari ini seperti aku meninggalkan semalam dan yang pastinya aku masih di sini seperti juga hari-hari semalam dan hari-hari sebelumnya sepanjang tiga tahun yang lalu........